TIDAK lama lagi, umat Islam akan menghadapi Ramadan,
menandakan bermulanya ibadat puasa sebagai salah satu Rukun Islam. Ramadan,
bulan penuh keberkatan yang mengandungi banyak hikmah kepada Muslimin.
Tidak hairanlah, Rasulullah menyifatkan Ramadan sebagai
bulan untuk umatnya. Ini terkandung dalam satu hadis, bermaksud, “Rejab bulan
Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan itu bulan umatku.”
Sehubungan itu, persediaan mental dan fizikal perlu
dilakukan dari sekarang. Bagi mereka yang berpuasa sunat sepanjang Syaaban,
amalan berpuasa Ramadan tidak terlalu membebankan.
Anggaplah kehadiran Ramadan sebagai bulan keseronokan untuk
meningkatkan ketakwaan kepada Allah, dan menambah amal ibadah selain menahan
lapar dan dahaga.
Membersihkan hati dan peribadi penting untuk mencapai tahap
kecemerlangan berpuasa sebagaimana yang dihayati kalangan salihin dan aulia
Allah.
Tetapi bagaimana hendak membersihkan diri sebagaimana yang
dituntut Allah dan Rasulullah. Ini kerana rohani yang bersih melahirkan
keikhlasan. Hati yang ikhlas kunci segala amalan dan ibadat Muslimin itu
diterima Allah.
Akhlak adalah kecantikan peribadi seseorang. Akhlak juga
cermin kerohanian insan yang dikasihi Penciptanya. Manusia dicipta untuk menjalani
kehidupan yang berakhlak, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Imran (85)
bermaksud, “Siapa yang memilih cara kehidupan selain agama Islam, Allah tidak
sekali-kali akan menerima apa saja daripadanya dan juga di akhirat dia
dimasukkan ke dalam golongan orang yang rugi,” kata pendakwah Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia, Sayyid Musa Kazim al-Bukhari.
Manusia itu sifatnya tidak sempurna, kerana kesempurnaan itu
hanya milik Allah. Orang yang berakhlak mulia dan terpuji ialah insan yang
sentiasa menginsafi dirinya hanyalah hamba kepada Penciptanya. Hidupnya untuk
kembali ke alam akhirat, manakala setiap perbuatan walaupun satu huruf tetap
akan dihisab di hadapan Allah di akhirat kelak. Orang inilah yang diberi
peluang oleh Allah untuk membersihkan hatinya.
Firman Allah dalam surah an-Naziyat (40-41) bermaksud, “Dan
adapun orang yang takut atas kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari hawa
nafsunya/keinginannya, maka sesungguhnya syurga itu tempat tinggalnya.”
“Mereka yang
membersihkan diri ialah orang yang sentiasa berusaha meningkatkan iman dan
takwanya. Baik dalam kehidupan rahsianya mahupun ketika di khalayak ramai,”
jelas Sayyid.
Sesungguhnya golongan ini seperti yang disebut dalam firman
Allah dalam surah al-Kaf (16-18) bermaksud: “Sesungguhnya kami menciptakan
manusia dan kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Kami lebih hampir
kepadanya daripada urat lehernya. Ketika dua malaikat mencatat amal
perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang seorang lagi di sebelah
kiri, tiada satu ucapan pun yang dilafazkannya, melainkan ada di dekatnya
malaikat pengawas yang bernama Raqib dan Atid, hadir bersama.”
Kata Sayyid, seorang mukmin tidak mungkin melakukan perkara
mungkar jikalau mengetahui Allah dan malaikat sentiasa memerhatikan gerak-gerinya.
Firman Allah dalam surah al-Infitar (10-12) bermaksud: “Dan
sesungguhnya bagi kamu ada malaikat yang mengawasi pekerjaan kamu, mereka
mengetahui apa yang kamu kerjakan. Di antara malaikat itu ialah yang bernama
Kiraman dan Katibin.”
“Seseorang yang
berbuat dosa sedangkan ia mengetahui perbuatan itu salah adalah orang yang
ingkar. Dia tidak beriman kepada Allah pada ketika itu. Sekiranya dia menemui
ajalnya pada masa itu, maka matinya sebagai hamba yang derhaka kepada Allah,”
kata Sayyid.
Firman Allah lagi dalam surah al-Israk (13-14) bermaksud:
“Dan setiap manusia yang mukallaf (Islam, baligh dan berakal), kami lekatkan
tanda nasib buruk pada tengkuk masing-masing sebagai kalung dan kami
perlihatkan kepadanya pada hari kiamat kitab amalannya yang dia mendapatinya di
dalam keadaan terbuka, menampakkan buruk baiknya dan diikatkan kepadanya:
“Bacalah kitabmu, memadailah kamu sendiri membuat kiraan pada hari ini terhadap
amalanmu!
“Pada setiap masa dan ketika malaikat sentiasa menyaksikan
amalan yang dilakukan umat manusia, sama ada baik ataupun jahatnya.”
Untuk membersihkan diri, perlu mengetahui empat perkara
iaitu, mengenal dirinya, mengenal Tuhannya, mengenal dunianya dan mengenal
akhiratnya.
Allah berfirman dalam surah al-Mulk (2) bermaksud: “... yang
menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih
baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”
Orang yang beriman wajib percaya dan yakin Allah itu wujud,
mendengar, melihat dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Firman Allah dalam surah al-Imran (29) bermaksud:
“Katakanlah, jika sekalipun kamu sembunyikan atau kamu terangkan apa yang dalam
hatimu itu, nescaya Allah mengetahuinya.”
Orang merasakan dirinya menjadi perhatian Allah setiap masa
akan hidup sebagai hamba yang ikhlas dan mentaati Allah. Sebagaimana sabda
Rasulullah yang bermaksud, “Barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah
dengan amalan baik dan ikhlas, Allah akan menjadi mata yang dia melihat
dengannya, Allah akan menjadi telinga yang dia mendengar dengannya, Allah akan
tangannya yang dengannya dia berbuat semua perkara.”
Orang yang mencapai tahap ikhlas seperti ini adalah seorang
yang salih dan mendapat darjat yang amat tinggi di sisi-Nya serta jadilah dia
seorang yang sahibul karamah.
Orang yang mahu membersihkan diri, harus lebih dulu membuang
segala sifat tercela yang ada pada diri dan menggantikannya dengan sifat
terpuji.
Firman Allah dalam surah at-Jatsia (23) bermaksud, “Apakah
engkau tahu, orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, dan dia
disesatkan Allah dalam keadaan mengetahui.”
Menurut Rasulullah, mereka yang tergolong dalam kecelakaan
itu ada empat golongan iaitu hatinya keras sehingga dia enggan menerima
kebenaran, matanya buta sehingga dia tidak nampak yang benar, sifat tamaknya
menjadikan dia hamba kepada kebendaan dunia dan keempat ialah keinginan terlalu
banyak tanpa berusaha atau usaha yang tidak sah.
Membersihkan diri juga amalan orang yang ikhlas. Firman
Allah dalam surah as-Syams (8-9) bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang
yang menyucikan jiwanya itu, Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”
Sesungguhnya orang yang berjaya sampai pada tahap tertinggi
itu dengan rahmat Allah sepertimana yang disebutkan dalam surah al-Fajar
(27-30) iaitu: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati
yang tenang dan direlakan. Dan masuklah dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah
ke dalam syurga-Ku.”
Jiwa yang tenang memudahkan seorang itu mengerjakan ibadat
dengan khusyuk. Seluruh jiwa dan kehidupannya hanyalah mentaati Allah dan
Rasul-Nya. Meliputi semua perkara, pergerakan hati dan anggota badan, fikiran,
pergaulan, janji, peribadi, hingga kematiannya juga adalah dikira ibadat.
Ini disebut di dalam firman Allah dalam surah al-Imran (110)
bermaksud, “Kamu adalah sebaik baik umat yang dilahirkan di kalangan umat
manusia, kamu memerintahkan mereka melakukan kebaikan serta melarang mereka
daripada melakukan kejahatan, sedang kamu pula beriman kepada Allah.”
Ikhlas adalah jambatan kejayaan dalam ibadat. Ikhlas juga
adalah lambang cinta sejati seorang hamba yang bermunajat dengan Khaliknya.
Itulah yang dimaksudkan oleh ayat (5) surah al-Fatihah
iaitu, “Hanya Engkau sajalah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami
mohon pertolongan.”
Indahnya seorang yang sangat rapat dan cinta kepada Allah
ialah orang itu akan menjadi seorang yang amat dicintai Allah dan mendapat
gelaran sahabat handai Allah.
Mereka yang mencapai martabat ketinggian ini tiada
bandingannya di sisi Allah sebagaimana disebutkan di dalam surah Yunus (62-64),
“Ingatlah, sesungguhnya wali/sahabat handai Allah itu mereka tidak merasa takut
dan tidak berdukacita, mereka beriman dan menjaga diri daripada kejahatan.
Mereka memperoleh berita gembira dalam kehidupan yang dekat ini dan di akhirat;
tidak ada perubahan bagi perkataan Tuhan; itulah keberuntungan yang besar.”
Sebaliknya, mereka yang menjalani kehidupan ini dengan
mengikut keinginan hawa nafsunya, dia tidak dapat merasai kemanisan iman malah
hanya akan membinasakan dirinya sendiri, sehinggalah dia bertaubat dan kembali
semula pada jalan Allah.
Namun kata Sayyid, tidak akan berlaku sesuatu perkara itu
jika tidak dengan kurnia dan rahmat Allah juga kerana sesungguhnya Allah
mempunyai kurnia yang amat besar.
Ini disebutkan oleh Allah dalam surah An-Nur (21) bermaksud,
“Dan kalaulah tidak kerana kemurahan Allah dan kasih sayang-Nya kepada kamu,
tidaklah seorang pun di antara kamu yang bersih buat selama-lamanya, tetapi
Allah menyucikan orang yang dikehendaki-Nya; dan Allah itu Maha Mendengar dan
Maha Tahu.”
Sabda Rasulullah lagi bermaksud; “Sesungguhnya Allah cinta
kepada hamba-Nya yang takwa yang bersih daripada segala penyakit hati, lagi
yang menyembunyikan dirinya demi menjauhkan diri daripada pengaruh-pengaruh
yang tidak baik.”
Barang siapa yang beramal dengan ilmunya, maka Allah akan
memberikan kepadanya ilmu yang belum diketahuinya, itulah cara membersihkan
diri.
No comments:
Post a Comment